Setiap manusia pastinya mempunyai setiap kisah yang berbeza. Ada yang bahagia dan ada juga yang derita. Tidak kurang juga orang yang tidak pernah berasa apa-apa. Setiap hari kita akan lalui jalan hidup yang berbeza daripada semalam. Mungkin hari ini lebih baik daripada semalam atau pun mungkin hari semalam lebih baik daripada hari ini. Segala yang berlaku adalah atas kehendak kita sebenarnya tanpa kita sedari.
Setiap langkah kita lalui pastinya berpaksikan dengan niat yang ada di hati kita. Jika baik niat kita, maka baiklah segala kesudahannya, tetapi jika tidak baik niat kita pastinya tidak akan baik jugalah segala kesudahannya. Kepada Allah SWT juga kita menyerahkan segala-galanya.
Perjalanan hidup pastinya bermula dari bangun dari tidur. Setelah bangun pastinya kita sudah setkan di dalam minda tentang apakah matlamat yang kita ingin capai hari ini. Pastinya setiap hari kita ingin mencapai target yang telah ditetapkan oleh kita sendiri dengan jayanya. Tetapi sebelum target dan matlamat itu tercapai pastinya pelbagai cabaran serta halangan yang akan kita tempuhi. Tidak kurang juga dengan kekurangan motivasi, pastinya sukar untuk melalui segalanya. Motivasi sangat penting dalam pembangunan kendiri. Tanpa motivasi pastinya apa juga tindakan serta target yang kita ingin capai terkandas di tengah jalan.
MATLAMAT, menyebut memang mudah, tetapi bagi melaksanakannya amatlah sukar, segalanya bergantung pada diri kita sendiri, cara dan bagaimana harus kita laksanakan adalah datang dari kita juga. Ketika kita melihat orang lain mencapai matlamat mereka dengan jayanya, apakah yang kita rasa? Cemburu bukan? Ianya sudah pasti kerana memang itulah sifat semulajadi manusia. Cemburu itu memang ada baiknya. Cemburu yang membuatkan kita lebih tekun berusaha untuk mencapai matlamat kita adalah cemburu yang baik. Manakala cemburu yang membuatkan kita rasa seperti ingin menjatuhkan orang lain dan mendapat sesuatu yang lebih bagus daripada mereka tetapi dengan cara yang tidak baik adalah cemburu yang memakan diri sendiri akhirnya.
Manusia sebenarnya terbahagi kepada dua kategori - sakit kelihatan sihat, sihat tetapi sakit yang tenat.
1. Sakit kelihatan sihat
- Orang ini berjiwa tenang. Fizikalnya memang tidak sihat tetapi hatinya tidak pernah sakit. Dia mengucap syukur pada kecemerlangan orang dan berbangga dengan kejayaan orang. Dia ikhlas kalau memuji dan diam tatkala patut mengeji.
2. Sihat tetapi sakit tenat.
- Orang ini adalah golongan abnormal. Jiwanya sakit lantaran psikologi dirinya bermasalah. Jiwanya bergelora. Susah hati dengan kesenangan orang tetapi dita tidak pula mahu berusaha keras sebagaimana orang itu. Mindanya asyik memikir bagaimana, kenapa, apa di mana, siapa dan bila kepada orang lain, bukan kepada dirinya sendiri. Golongan ini sebenarnya sakit walaupun fizikalnya kelihatan sihat, Hidup sebagaimana orang lain tetapi hatinya berkocak dan bergelora memikirkan hal orang lain.
Mulakan setiap langkah dengan kaki kanan apabila keluar dari rumah bagi mencapai matlamat. "Berpagi-pagilah dalam Mencari Rezeki'. Jangan mudah putus asa atas segala takdir yang Allah sudah tentukan untuk kita. Kadang kala kita sering menyalahkan takdir jika kita dikeji dan tidak memperolehi apa yang kita hajati seperti yang dirancang. Ingatlah, kita manusia hanya mampu merancang, Allah juga merancang tetapi rancangan Allah juga yang terbaik. Setiap yang Allah hendak beri kadangkala bukan berbalut dengan sesuatu yang indah, ada masanya berbalut dengan sebuah kertas duka. Kenapa dan mengapa sudah tentu kita tidak tahu. Tetapi yang pasti bersujudlah pada Ilahi. Pasti akan ketemu jawapan yang kita cari.
0 comments:
Post a Comment